Oleh: Roslinda Hashim
GERIK - Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mengingatkan ahli politik agar berhati-hati dengan ahli perniagaan yang mendekati parti atas alasan mahu membantu atau menderma, kerana dikhuatiri mempunyai kepentingan untuk mendapatkan projek.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat itu berkata, percampuran antara politik dan perniagaan boleh merosakkan sistem parti apabila keputusan atau bantuan diberikan tanpa mengikut prosedur sewajarnya.
“Jauhi ahli perniagaan yang datang mendekati parti kononnya mahu menderma, tetapi sebenarnya mahu projek. Banyak parti rosak disebabkan perkara seperti ini apabila politik dicampurkan dengan perniagaan.
“Orang berniaga, dia dapat keuntungan. Orang dalam parti pula mungkin mendapat habuan, tetapi akhirnya sistem menjadi rosak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Perak ke-43 di sini hari ini.
Menteri Besar Kedah itu berkata, urusan politik dan perniagaan perlu dipisahkan supaya parti tidak dipengaruhi kepentingan tertentu yang boleh menjejaskan integriti perjuangan.
“Dirangkumkan sekali politik dengan perniagaan, perbuatan ini telah merosakkan banyak parti, jangan campur urusan perniagaan dengan parti. Apabila orang berniaga mula masuk campur dalam urusan parti dan orang parti pula campur urusan niaga, keadaan akan menjadi berselerak.
“Kita pesan awal supaya jangan terbabit dengan perniagaan yang datang kepada kita (orang parti),” katanya.
Pada masa sama, Sanusi menasihatkan ahli dan pemimpin PAS supaya tidak berpecah atau bergaduh sesama sendiri kerana ia hanya melemahkan kekuatan parti.
Beliau berkata, asas perjuangan PAS adalah berteraskan agama sebagai pedoman, selain menjaga kepentingan masyarakat Melayu serta menghormati semua kaum dalam negara majmuk.
“Jangan bergaduh kerana pergaduhan menyebabkan kita lemah. Asas politik PAS ialah agama sebagai pedoman kita. Teras kita orang Melayu, tetapi kita hidup dalam masyarakat majmuk dan perlu hormati semua bangsa,” katanya.
Sementara itu, Sanusi menyifatkan PAS Perak semakin hampir untuk membentuk Kerajaan Negeri sekiranya persiapan parti diperkukuhkan menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Beliau berkata, kerjasama politik yang terjalin di beberapa negeri termasuk Johor dan Negeri Sembilan sekiranya diteruskan mampu memberi ruang kepada perubahan pentadbiran di Perak.
“Saya harap Pemuda PAS Perak bersedia untuk menjadi kerajaan menanti di Perak. Kalau kerjasama di Johor dan Negeri Sembilan dapat diteruskan, saya yakin kita akan jadi kerajaan di Perak.
“Kalau keadaan sebaliknya pun, PAS mahu memerintah Perak juga. Kita semakin hampir, sudah tidak jauh daripada impian itu. Saya percaya PAS Perak boleh memerintah negeri Perak dalam PRU16,” katanya.
Beliau turut menggesa Dewan Pemuda PAS Perak meningkatkan persiapan diri dengan memperkukuh ilmu, kemahiran serta membaca lebih banyak bahan berkaitan pentadbiran dan kepimpinan sebagai persiapan awal.
“Buat persiapan rapi, jangan bergaduh dan jangan suka membawa cerita buruk tentang rakan-rakan dalam parti. Kita perlu bersedia menjadi pemimpin pada masa akan datang,” katanya.

0 Comments