PMX, MENGAPA HERET MALAYSIA KE KANCAH KONFLIK CHINA -TAIWAN?

 

Oleh: Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi

Kenyataan Perdana Menteri berhubung isu China-Taiwan, khususnya apabila beliau dilihat mempertahankan hak China menggunakan kekerasan dalam isu penyatuan Taiwan, adalah satu kesilapan diplomatik yang serius dan tidak perlu.

Malaysia sememangnya mempunyai dasar yang jelas mengenai One China Policy. Dasar itu telah lama menjadi asas hubungan diplomatik Malaysia-China. Namun, mengiktiraf dasar Satu China tidak bermakna Malaysia perlu memberikan pandangan mengenai kewajaran penggunaan kekerasan terhadap Taiwan.

Di sinilah garis diplomasi sepatutnya ditarik.

Persoalan sama ada China berhak menggunakan kekerasan terhadap Taiwan adalah persoalan yang amat sensitif, melibatkan sejarah, kedaulatan, keselamatan serantau dan hubungan antara Beijing dengan Taipei. Malaysia tidak mempunyai kepentingan untuk menjadi hakim kepada pertikaian tersebut, apatah lagi memberikan legitimasi moral terhadap kemungkinan penggunaan kekerasan.

Malaysia sepatutnya kekal dengan pendirian yang mudah dan konsisten: menghormati dasar Satu China, menggalakkan keamanan dan dialog serta menolak sebarang tindakan yang boleh meningkatkan ketegangan di rantau ini.

Ironinya, pendirian terbaru ini kelihatan bercanggah dengan pendekatan yang pernah ditegaskan sendiri oleh Perdana Menteri. Sebelum ini beliau menyatakan Malaysia akan terus mengamalkan dasar luar yang bebas dan tidak berpihak, malah menegaskan bahawa penggunaan kekerasan atau paksaan hanya akan menimbulkan kesan yang tidak diingini. Malaysia juga selama ini menekankan penyelesaian pertikaian secara aman melalui diplomasi dan undang-undang antarabangsa.

Sebab itu kenyataan mengenai Taiwan menimbulkan persoalan besar tentang konsistensi dasar luar Malaysia.

Lebih membimbangkan, Malaysia ialah sebuah negara perdagangan. Kita bukan kuasa besar ketenteraan dan tidak mempunyai kepentingan untuk terheret ke dalam persaingan geopolitik kuasa-kuasa besar.

China merupakan antara rakan ekonomi terpenting Malaysia. Pada masa yang sama, Taiwan mempunyai hubungan ekonomi, perdagangan, pelaburan dan teknologi yang penting dengan Malaysia, khususnya dalam ekosistem elektrik dan elektronik serta semikonduktor. Malaysia sendiri terus mempunyai saluran hubungan ekonomi dengan Taiwan melalui Malaysian Friendship and Trade Centre di Taipei.

Justeru, kepentingan Malaysia bukan memilih Beijing atau Taipei. Kepentingan Malaysia ialah memastikan kita boleh terus berurusan dengan kedua-duanya.

Diplomasi yang matang bukan tentang siapa paling lantang memberikan pandangan terhadap konflik negara lain. Diplomasi adalah kebijaksanaan mengetahui bila perlu bersuara, apa yang perlu dikatakan dan bila sesuatu perkara lebih baik tidak dikomentari.

Dalam isu Taiwan, Malaysia sebenarnya mempunyai ruang diplomatik yang sangat selesa. Kita boleh terus menghormati dasar Satu China dan dalam masa yang sama membina hubungan perdagangan serta ekonomi yang pragmatik dengan Taiwan. Kedua-duanya telah dilakukan Malaysia selama puluhan tahun tanpa perlu memberikan pandangan tentang penggunaan kekerasan.

Mengapa kita perlu mengorbankan ruang diplomatik tersebut?

Reaksi Taipei terhadap kenyataan ini menunjukkan bahawa kata-kata seorang Perdana Menteri mempunyai akibat. Dalam diplomasi antarabangsa, satu kenyataan yang tidak perlu boleh menimbulkan ketegangan yang mengambil masa bertahun-tahun untuk diperbaiki.

Lebih-lebih lagi ketika Malaysia sedang berusaha menarik pelaburan berteknologi tinggi, membangunkan industri semikonduktor dan memperkukuh kedudukannya dalam rantaian bekalan global. Dasar luar kita sepatutnya membuka lebih banyak pintu ekonomi kepada Malaysia, bukannya mencipta risiko baharu yang tidak diperlukan.

Malaysia tidak perlu menjadi pro-China. Malaysia juga tidak perlu menjadi pro-Taiwan.

Malaysia perlu menjadi pro-Malaysia.

Kita berkawan dengan China. Kita berdagang dengan Taiwan. Kita berurusan dengan Amerika Syarikat, Eropah, Jepun, Korea Selatan, ASEAN dan seluruh dunia berdasarkan kepentingan negara.


Itulah kekuatan sebuah negara perdagangan yang bebas dan berkecuali.

Sebab itu, dalam isu yang begitu sensitif seperti hubungan China-Taiwan, tugas seorang Perdana Menteri bukan untuk menentukan siapa berhak menggunakan kekerasan terhadap siapa. Tugasnya adalah memastikan setiap perkataan yang diucapkan melindungi kepentingan ekonomi, keselamatan dan hubungan antarabangsa Malaysia.

Kita tidak memperoleh apa-apa dengan mencampuri pertikaian ini. Sebaliknya, kita berisiko kehilangan ruang diplomatik yang selama ini menjadi kekuatan Malaysia.

Dalam diplomasi, keberanian bukan diukur melalui keberanian membuat kenyataan. Kadangkala kebijaksanaan terbesar ialah mengetahui kenyataan yang tidak perlu dibuat.

Dan dalam hal ini, Malaysia telah mengambil risiko diplomatik yang sebenarnya boleh dielakkan.

Post a Comment

0 Comments