PERJUANGAN HAPUSKAN JUDI DI KEDAH TIDAK PERNAH BERNOKTAH

 


Kenyataan Media PAS Kedah

Oleh: Dato’ Ahmad bin Yahaya

Pesuruhjaya PAS Kedah

PAS Kedah mengambil maklum keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan yang dikemukakan oleh Kerajaan Negeri Kedah berhubung kes pemberhentian lesen premis operasi perjudian dalam Negeri Kedah. Kerajaan Negeri Kedah mengumumkan untuk tidak meneruskan pemberian lesen premis operasi perjudian berkuatkuasa 1 Januari 2023 lagi berdasarkan keputusan anggota Majlis Mesyuarat Negeri pada 8 Disember 2021.

Pendirian tersebut bermaksud keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan dasar sifar judi di Kedah berdasarkan penghakiman pada Jun 2024 adalah terpakai. PAS Kedah menzahirkan rasa dukacita dengan keputusan tersebut meskipun akur dengan ketetapan yang dibuat. Bahkan, keputusan tersebut juga turut mendukacitakan seluruh rakyat Negeri Kedah.

Sangat ironi apabila langkah Kerajaan Negeri mengamalkan prinsip mencegah kerosakan dalam masyarakat dibantah oleh pihak tertentu sehingga mereka sanggup membawa kes ini ke mahkamah sejak daripada awal. Inilah yang amat dikesali. Bagaimana ada pihak yang masih tegar mempertahankan jenayah perjudian dalam negeri meskipun usaha Kerajaan menutup keseluruhan premis telah dilaksanakan mengikut garis perundangan yang ada.

PAS Kedah ingin menegaskan bahawa prinsip amar makruf nahi munkar akan terus dipertahankan dalam aspek berkerajaan. Selain itu, PAS Kedah juga ingin menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Kerajaan Negeri atas apa jua tindakan susulan yang wajar diambil pasca pendirian daripada Mahkamah Persekutuan ini. Insya-Allah, perjuangan ini tidak akan bertemu titik noktah di sini. 

Sekian.

12 Ogos 2026

Post a Comment

0 Comments