Oleh: Roslinda Hashim
KUPANG - Penyatuan Melayu-Islam merupakan benteng terakhir bagi mempertahankan kedudukan Islam dan masa depan negara daripada ancaman asimilasi serta fahaman liberal.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang, Brigedier Jeneral (B) Dato’ Najmi Ahmad berkata, tiada jalan untuk menyelamatkan negara ini daripada ancaman fahaman liberal serta pemerintahan Pakatan Harapan (PH) dan DAP melainkan melalui penyatuan umat Melayu-Islam.
Menurut beliau, Melayu-Islam perlu menyedari peranan mereka sebagai benteng dalam mempertahankan agama, negeri dan negara.
"Tuan-tuan dan puan-puan ialah benteng yang akan mempertahankan negeri dan negara ini. Namun, benteng itu bukanlah dibina daripada batu-bata, sebaliknya benteng yang dibina melalui sokongan kepada Perikatan Nasional," katanya
Najmi berkata, Islam merupakan agama Persekutuan sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, justeru kedudukan tersebut perlu dipertahankan.
Namun katanya, terdapat usaha pihak tertentu yang didakwa cuba menghakis kedudukan Islam sedikit demi sedikit menerusi pendekatan berteraskan fahaman liberal dan sekular.
“Justeru, umat Melayu-Islam perlu terus bersatu dan tidak membiarkan perpecahan melemahkan kedudukan kita dalam mempertahankan agama dan negara,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru Melayu-Islam supaya memperkukuh penyatuan serta mempertahankan kedudukan Islam demi memastikan masa depan agama, bangsa dan negara terus terpelihara.

0 Comments