PENAMAAN KAPAL LMSB2 KETIGA ‘TUNKU OSMAN JEWA’ DISEMPURNAKAN SULTANAH KEDAH

 

Oleh: Roslinda Hashim

ISTANBUL - Kapal ketiga Littoral Mission Ship Batch 2 (LMSB2) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang dinamakan Tunku Osman Jewa dengan nombor pennant 143, melengkapkan tiga kapal perang moden siri berkenaan yang dilancarkan di Istanbul Shipyard, Türkiye pada 9 Ogos.

Majlis Penamaan dan Pelancaran kapal tersebut melakar satu lagi pencapaian bersejarah industri pertahanan dan ketenteraan maritim negara. 

Majlis penuh tradisi ketenteraan ini disaksikan Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, dan disempurnakan Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Almarhum Tengku Ariff selaku Royal Sponsor.

Turut berkenan berangkat ialah Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff.

Delegasi Kementerian Pertahanan diketuai Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman, selain turut disertai Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Datin Roszanina Wahab dan Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Ts. Badarudin Taha yang mewakili Panglima Tentera Laut.

Penamaan Tunku Osman Jewa merupakan penghormatan tertinggi negara bagi mengenang jasa serta mengabadikan legasi Almarhum Jeneral Tan Sri Tunku Osman bin Tunku Mohammad Jewa, kerabat diraja Kedah yang merupakan Panglima Angkatan Tentera pertama dilantik daripada kalangan anak watan.

Pelancaran kapal ketiga itu melengkapkan keseluruhan tiga siri pelancaran LMSB2 di Istanbul Shipyard, membabitkan Tunku Laksamana Abdul Jalil (141), Raja Laut (142) dan Tunku Osman Jewa (143).

Ketiga-tiga aset tempur strategik berkenaan kini bersedia untuk memasuki fasa seterusnya secara serentak, termasuk integrasi sistem penderia, pemasangan sistem peperangan dan persenjataan moden.

Kesemua kapal itu turut akan menjalani penilaian ujian pelabuhan (Harbour Acceptance Trials - HAT) dan ujian laut (Sea Acceptance Trials - SAT) sebelum diserahkan secara rasmi kepada TLDM.

Berdasarkan momentum pembinaan yang berjalan mengikut jadual, ketiga-tiga kapal LMSB2 berkenaan dijangka berada pada landasan tepat untuk diserahkan kepada TLDM pada penghujung tahun hadapan.

Post a Comment

0 Comments