‘CORDOBA OF KEDAH’ LAHIRKAN GENERASI AL-ABQARI
Oleh: Roslinda Hashim
KUALA KETIL - Pelan Strategik Cordoba of Kedah 2026-2030 diperkenalkan sebagai langkah penting Kerajaan Negeri memperkukuh ekosistem pendidikan bagi melahirkan generasi Kedah al-Abqari yang berilmu, berakhlak, berkemahiran dan berdaya kepimpinan.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pelan berkenaan bukan sekadar dokumen, sebaliknya menjadi komitmen dan hala tuju untuk menyatukan kekuatan seluruh institusi pendidikan negeri dalam satu visi bersama.
Menurutnya, usaha itu merangkumi sekolah pondok, Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR), Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR), Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), institusi tahfiz, universiti serta seluruh warga pendidikan.
“Pelan ini adalah komitmen dan arah tuju menyatukan kekuatan sekolah pondok, SMAR, SRAR, KAFA, institusi tahfiz, universiti dan seluruh warga pendidikan dalam satu visi bersama melahirkan Generasi Kedah al-Abqari.
“Semoga ia dapat memacu transformasi pendidikan secara holistik dalam menyediakan generasi menghadapi masa hadapan, serta membawa Kedah ke arah kegemilangan baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Kongres Pendidikan Cordoba of Kedah 2026 dan Pelancaran Buku Pelan Strategik Cordoba of Kedah 2026-2030 di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), hari ini.
Sanusi berkata, generasi Kedah al-Abqari yang ingin dilahirkan menerusi agenda itu bukan sekadar cemerlang akademik, sebaliknya mampu menggabungkan ilmu dengan iman, kecerdasan dengan akhlak, kemahiran dengan nilai serta teknologi dengan tanggungjawab.
Katanya, generasi berkenaan juga perlu menguasai al-Quran dan al-Sunnah, selain bidang sains, teknologi, kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital, industri halal dan bidang baharu yang diperlukan dunia.
“Kita mahu generasi yang tidak hanya menjadi pengguna kepada perubahan, tetapi pencipta perubahan.
“Generasi yang bukan sahaja mencari pekerjaan, tetapi mampu mencipta peluang. Generasi yang bukan sahaja berjaya untuk dirinya, tetapi memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.
Sanusi turut mempelawa Kerajaan Persekutuan, kementerian, institusi dan agensi berkaitan untuk menjayakan gagasan berkenaan tanpa dikongkong kefahaman sempit, dengan memberi ruang seluas-luasnya kepada perkembangan budaya ilmu.
“Mari kita suburkan budaya ilmu, beri ruang sebebas-bebasnya pada tradisi ilmu berkembang, membentuk manusia dan kemanusiaan, menjadikan generasi kita lebih baik, lebih cemerlang dengan kebebasan dalam bidang ilmu dan keilmuan,” katanya.
Tambah beliau, nama Cordoba dijadikan inspirasi kerana tamadun itu pernah menjadi pusat ilmu dunia yang menghubungkan agama, pemikiran, penyelidikan dan inovasi.
Menurutnya, kegemilangan Cordoba lahir daripada masyarakat yang menghormati ilmu dan ilmuwan serta menjadikan ilmu sebagai asas kemajuan.
“Kita sebenarnya sedang mengingati sebuah tamadun yang membuktikan bahawa ilmu ialah asas kepada kemajuan sesebuah bangsa.
“Kejayaan Cordoba tidak dibina semata-mata kerana kekayaan ekonomi atau kekuatan ketenteraan, tetapi kerana mereka mengangkat ilmu sebagai teras pembangunan negara,” katanya.
Beliau berkata, semangat itu perlu dihidupkan semula melalui Kongres Pendidikan Cordoba of Kedah dan pelan strategik supaya Kedah mampu melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan mampu bersaing di pentas dunia.
“Hari ini medan perjuangan kita ialah melalui pendidikan, penyelidikan, inovasi, teknologi, ekonomi digital dan pembangunan modal insan. Senjata kita adalah ilmu pengetahuan, kreativiti, integriti serta nilai-nilai Islam yang menjadi panduan kehidupan.
“Semoga dengan semangat ini, Kedah mampu muncul sebagai negeri yang menjadi contoh kecemerlangan pendidikan dan pusat pembangunan ilmu di Malaysia, sebagaimana Cordoba pernah menjadi mercu tanda tamadun dunia,” katanya.
Sanusi tegaskan, sejarah bukan sekadar untuk dikenang, tetapi dijadikan sumber inspirasi bagi membina masa hadapan yang lebih baik.
“Kita mesti mencipta kegemilangan baharu untuk generasi akan datang. Atas kesedaran inilah Kerajaan Negeri perkenalkan The Greater Kedah,” katanya.
Tambah beliau, agenda The Greater Kedah bukan sekadar memberi tumpuan kepada pembangunan fizikal dan ekonomi, sebaliknya turut menjadikan ilmu, inovasi, kesejahteraan serta pembangunan modal insan sebagai asas kemajuan negeri.
“Kita yakin kekuatan sesebuah negeri bukan hanya diukur melalui bangunan yang dibina atau ekonomi yang berkembang, tetapi melalui manusia berilmu, berakhlak, berkemahiran dan mampu memimpin,” katanya.
Beliau berharap Kongres Pendidikan Cordoba of Kedah menjadi medan percambahan ilmu, penyatuan pandangan dan pengukuhan kerjasama dalam memperkasa pendidikan negeri.
“Semoga Kedah terus menjadi bumi ilmu dan melahirkan insan unggul. Semoga generasi akan datang mewarisi sebuah negeri maju, bermaruah dan diberkati,” katanya.

0 Comments