PAS KEDAH GESA KPKM, MADA SELESAI ISU PEMBEKALAN BAJA PADI 3

 

Kenyataan Media PAS Kedah

Oleh: Dato’ Ustaz Haji Ahmad Yahaya

Pesuruhjaya PAS Kedah

Pada 1 Julai 2026 yang lalu, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah menyatakan bahawa pembekalan bagi Baja Sebatian Tambahan Padi 3 telah mengalami kelewatan yang serius. Sehingga 29 Jun, hanya enam peratus baja padi telah diagihkan dan Kementerian turut memberi jaminan bahawa pembekalan Baja Padi 3 akan diselesaikan sebelum 30 Julai 2026. Jawapan tersebut dikemukakan berdasarkan soalan daripada Ahli Parlimen Jerlun. 

Ironinya, jaminan penyelesaian oleh KPKM di Dewan Rakyat itu hanya tinggal janji ditambah lagi dengan kenyataan media MADA semalam tidak nampak jalan penyelesaian terhadap isu pengagihan Baja Padi 3. Sebaliknya kenyataan MADA tersebut sekadar mengesahkan baki 478,455 beg baja masih belum diedarkan melibatkan 38 ribu pesawah dan keluasan tanaman kira-kira 78,117 hektar sawah. 

Pengesahan tentang kelewatan pengagihan baja padi telah pun diulang sebut oleh KPKM dan MADA, malangnya tidak ada jalan keluar yang disediakan.

Malah, MADA sendiri mengakui 52,000 hektar tanaman ketika ini telah melalui tempoh 31-75 hari lepas tabur (HLT). Lebih malang para pesawah lebih percayakan Saudara Zainal Rashid Ahmad (ZRA) untuk mengangkat suara mereka berbanding KPKM dan agensinya, MADA yang dilihat tidak mampu berfungsi seperti yang dikehendaki.

Begitu juga isu baja urea 46%N yang sebelum ini mengalami kelewatan disebabkan pembida gagal mengembalikan Surat Setuju Terima dalam tempoh yang ditetapkan. MADA akhirnya terpaksa membuat tender semula dan menyelesaikan pembekalan baja urea tersebut. Baja urea 46%N dan Baja Sebatian Tambahan Padi 3 masing-masing penting untuk peringkat tumbesaran beranak aktif dan pembentukan tangkai padi. 

PAS Kedah menggesa pihak MADA dan KPKM tidak memandang keperluan para pesawah ini secara sambil lewa. Isu-isu yang melibatkan para pesawah dan industri padi dan beras negara secara keseluruhannya semakin meruncing saban waktu. Sebelum ini para pesawah turut menyatakan kebimbangan mereka terhadap kenaikan kos operasi yang meningkat secara mendadak sehingga menyebabkan para pesawah menanggung kerugian dalam mengusahakan tanaman. 

Tambahan lagi, PAS Kedah juga mendesak Kerajaan mendedahkan faktor kelewatan pengagihan baja padi kepada pesawah seperti yang didedahkan pada hari ini. Malah, Kementerian sendiri seharusnya turun padang dan menyediakan penyelesaian yang tuntas terhadap pelbagai isu yang berlaku. Mengapa pesawah kita hari ini seolah-olah dibiarkan "keseorangan" membanting tulang? 


Sekian.


19 Ogos 2026 bersamaan 5 Rabi’ul Awal 1448H

Post a Comment

0 Comments