MKN WAJAR SELESAIKAN ISU BUKIT MALUT, KEDAH SEDIA BANGUNKAN PERUMAHAN TERANCANG

 

Oleh: Roslinda Hashim

ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah mendesak Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengambil tindakan segera menyelesaikan isu penempatan Bukit Malut di Langkawi yang berlarutan sejak 1983, termasuk menyediakan tanah bagi membolehkan 1,400 rumah baharu dibangunkan untuk penduduk.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Kerajaan Negeri melalui anak syarikatnya bersedia membangunkan perumahan berkenaan sekiranya MKN menyediakan tanah yang sesuai, dengan harga rumah disasarkan RM200,000 ke bawah.

Menurutnya, cadangan itu merupakan jalan terbaik menyelesaikan isu penempatan penduduk Bukit Malut secara menyeluruh tanpa menjejaskan kebajikan dan kehidupan mereka.

“Saya beberapa kali sudah menyuarakan hasrat supaya MKN membuat pengambilan balik tanah, termasuk tanah milik LKIM di sebelah kawasan itu untuk didirikan rumah yang sah.

“Mereka (penduduk) sedia membeli. Tetapi dalam lingkungan harga yang sesuai. MKN boleh buat pengambilan, anak syarikat Kerajaan Negeri sedia bangunkan rumah untuk dijual kepada penduduk.

“Dengan ini, bolehlah diselesaikan masalah penempatan Bukit Malut,” katanya dalam sidang media selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.

Sanusi berkata, Kerajaan Negeri juga bersedia bekerjasama dengan syarikat swasta sekiranya tanah disediakan bagi membolehkan kawasan perumahan yang lebih teratur dan terancang dibangunkan.

Katanya, sekurang-kurangnya 30 ekar tanah diperlukan bagi menampung pembangunan 1,400 unit rumah untuk penduduk terbabit.

Menurut Sanusi, beliau sudah beberapa tahun mendesak MKN mengambil tanah berkenaan bagi tujuan pembangunan perumahan, namun isu itu masih belum menemui penyelesaian.

“Saya harap MKN ambil perhatian. Saya cakap sudah enam tahun. Saya harap kita boleh letak noktah kepada isu Bukit Malut.

“10 tahun lepas patut isu itu selesai. Mula-mula saya cakap pada tahun 2020, ini sudah 2026, nampak macam tidak diberi perhatian,” katanya.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri tidak mahu mengambil tindakan pengusiran terhadap penduduk atas pertimbangan kemanusiaan, walaupun keputusan mahkamah berkaitan penempatan itu sudah diperoleh.

“Kita sudah dapat keputusan mahkamah. Tetapi kita mempunyai kemanusiaan yang tinggi. Kalau kita pergi punggah orang yang duduk di situ, mereka hendak pergi mana?

“Jadi, kemanusiaan itulah yang masih menahan kita untuk tidak hilang perikemanusiaan. Walaupun kita ada perintah mahkamah, kita tidak mahu ambil tindakan yang mendatangkan isu lain pula,” katanya.

Sehubungan itu, Sanusi menggesa MKN menyelesaikan isu tanah berkenaan supaya Kerajaan Negeri boleh meneruskan usaha menyediakan rumah yang sah dan mampu dimiliki penduduk.

“Buat kerja sampai habis. Jangan buat sekerat jalan, tinggal macam itu, kita terpinga-pinga. Kalau saya boleh buat sendiri, saya buatlah. Tetapi saya kena desak mereka kerana itu kerja mereka. Yang bawa masuk mereka itu MKN, bukan saya.

“Pengambilan tanah LKIM, jika atas alasan keselamatan, mungkin harga lebih murah,” katanya.

Sanusi tegaskan, penduduk Bukit Malut bukan pendatang tanpa izin, sebaliknya merupakan warganegara Malaysia yang mempunyai kad pengenalan dan mempunyai hubungan dengan Kedah.

“Mereka bukan orang Rohingya. Mereka asal orang Kedah, cakap Kedah. Mereka duduk di situ atas urusan MKN.

“Mereka kena duduk dekat laut sebab mereka bekerja sebagai nelayan. Aktiviti ekonomi mereka bergantung kepada laut dan hasil tangkapan di Bukit Malut.

“Ekonomi Langkawi juga bergantung kepada orang Bukit Malut yang bekerja sebagai pencuci, di kedai, kereta sewa dan kerja-kerja pembersihan,” katanya.

Sanusi berkata, masalah utama dihadapi penduduk berpunca daripada status tanah yang tidak mempunyai geran selain terdapat sekitar 1,300 rumah didirikan terlalu padat sehingga menimbulkan pelbagai masalah, termasuk kebersihan, bekalan air dan elektrik.

“Ia menyebabkan banyak isu tidak dapat diselesaikan berdasarkan peraturan dan undang-undang,” katanya.

Beliau turut menggesa semua pihak supaya tidak memberikan gambaran negatif terhadap penduduk Bukit Malut hanya kerana mereka tinggal di penempatan haram.

“Kesian mereka. Tidak betul kalau kita menempelkan wajah buruk kepada mereka. Jangan buat spekulasi. Masalah ini jangan dijadikan isu politik. Masalah ini kena selesai,” katanya.

Menurut Sanusi, penyelesaian isu Bukit Malut tidak seharusnya bersyarat atau dikaitkan dengan sokongan politik penduduk ketika pilihan raya.

“Masalah dulu-dulu, jika undi mereka, mereka tolonglah. Penduduk cari makan dan hidup di sini. Kamu hendak undi siapa, itu kamu punya pasal. Begitulah cara menyelesaikan masalah,” katanya.

Beliau berkata, isu berkenaan sudah melibatkan beberapa generasi dan tidak wajar terus dibiarkan berlarutan hanya kerana kepentingan politik.

“Sudah beberapa generasi isu masih tidak selesai. Jangan pentingkan perkara remeh-temeh. Selesaikan masalah ini dengan keinsanan kerana mereka ada akal dan pertimbangan,” katanya.

Post a Comment

0 Comments