PACU TRANSFORMASI PENDIDIKAN KEDAH
Oleh: Roslinda Hashim
KUALA KETIL - Kongres Pendidikan Cordoba of Kedah 2026 mengemukakan lima resolusi kepada Kerajaan Negeri Kedah bagi memperkukuh ekosistem pendidikan negeri menerusi penubuhan tiga institusi strategik, pembangunan kurikulum baharu serta pengukuhan pendidikan tinggi berteraskan Maqasid Syariah.
Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), Prof. Dr. Mohd Amy Azhar Mohd Harif berkata, cadangan itu dirangka selaras dengan tema kongres, “Generasi Kedah al-Abqari: Memacu Transformasi Pendidikan”.
Resolusi berkenaan diserahkan kepada Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang juga Penasihat Jawatankuasa Pelan Strategik Cordoba of Kedah, pada majlis perasmian penutup Kongres Pendidikan Cordoba of Kedah 2026 dan Pelancaran Buku Pelan Strategik Cordoba of Kedah 2026-2030 di UniSHAMS, hari ini.
Mohd Amy Azhar ketika membentangkan resolusi berkenaan memaklumkan, resolusi pertama mencadangkan penubuhan Majlis Pendidikan Cordoba of Kedah sebagai badan pemikir dan penasihat strategik bagi menyelaras hala tuju pendidikan negeri.
“Resolusi kedua, menubuhkan Yayasan Pendidikan Kedah sebagai agensi pelaksana bagi memperkukuh transformasi pendidikan berteraskan Islam, kualiti institusi serta pembangunan guru dan pentadbir sebagai Al-Mu’allim Ar-Rabbani,” katanya.
Menurutnya, resolusi ketiga mencadangkan penubuhan Wakaf Pendidikan Cordoba of Kedah sebagai sumber pendanaan pendidikan yang lestari dengan sokongan melalui zakat, sedekah dan infaq.
Tambah beliau, resolusi keempat pula memberi tumpuan kepada membangunkan Kurikulum Al-Abqari yang mengintegrasikan ilmu wahyu dan ilmu kontemporari bagi melahirkan generasi berilmu, berakhlak, kompeten serta berdaya saing.
“Resolusi kelima ialah memperkukuh Gagasan Pendidikan Tinggi Kedah berteraskan Maqasid Syariah, iman, ilmu dan amal melalui kerjasama seluruh ekosistem pendidikan demi pembangunan insan dan ummah,” katanya.
Kongres Pendidikan Cordoba of Kedah 2026 dianjurkan bagi merangka hala tuju strategik pendidikan negeri secara lebih menyeluruh dan bersepadu.
Kelima-lima resolusi itu bakal menjadi asas penting dalam memperkukuh Pelan Strategik Cordoba of Kedah 2026-2030 ke arah melahirkan generasi Kedah al-Abqari yang berilmu, berakhlak, berkemahiran dan berdaya kepimpinan.

0 Comments