KERJASAMA PN-BN PERLU BERLANDASKAN KEIKHLASAN, BUKAN KEUNTUNGAN POLITIK

 

Oleh: Roslinda Hashim 

GERIK - Kerjasama antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) hanya mampu bertahan serta memberi manfaat jangka panjang jika kedua-dua gabungan benar-benar ikhlas dan sanggup berkorban.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kerjasama yang hanya didorong kepentingan politik atau keuntungan sementara tidak akan berkekalan, malah boleh merugikan mana-mana pihak pada masa depan.

“Pertama, kena ikhlas. Terus terang, baru boleh bincang. Kalau nak cari untung sahaja, lepas ini rugi balik. Dalam politik, proses itu akan berulang.

“Kalau nak untung sementara bolehlah, tetapi kalau nak untung selamanya, kena ikhlas dan sedia berkorban,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Perak Ke-43 di sini hari ini.

Mengulas sama ada beliau melihat wujudnya keikhlasan dalam kerjasama PN-BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ketika ini, Sanusi berkata, perkara tersebut sukar dinilai kerana ia melibatkan soal hati.

“Ikhlas dalam hati, kita tak nampak,” katanya ringkas.

Ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang sebelum ini dilaporkan menyatakan BN membantu memenangkan PN pada PRN Negeri Sembilan, Sanusi berharap semangat yang sama dapat diterjemahkan di Perak sekiranya kedua-dua gabungan meneruskan kerjasama pada masa depan.

“Saya harap dia bersedia juga di Perak. Kena ikhlas dan sedia berkorban,” katanya.

Mengulas gabungan yang layak mengetuai Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) sekiranya meneruskan kerjasama politik tersebut, Sanusi berkata, PAS bersedia untuk berunding sekiranya formula yang digunakan pada PRN Negeri Sembilan diteruskan.

Bagaimanapun, katanya, keputusan itu bergantung kepada kesediaan semua pihak dan rundingan akan dibuat berdasarkan beberapa prinsip yang dipersetujui bersama.

“PAS sedia. Ada beberapa asas dalam perundingan. Antaranya, penyandang yang menang kekal bertanding di kerusi itu.

“Kita juga akan melihat kekuatan jentera, cawangan dan bilangan ahli di sesuatu kawasan. Itu antara kaedah-kaedah yang boleh digunakan dalam rundingan.

“Namun saya tak pasti kaedah mana yang akan dipakai jika berlaku perundingan (di Perak), itu antara kaedah-kaedah yang kebiasaan dirujuk,” katanya.

Menurut Menteri Besar Kedah itu, jika persefahaman gagal dicapai, tidak mustahil akan berlaku pertandingan secara bebas antara parti-parti terlibat seperti pernah berlaku sebelum ini.

“Kalau kerjasama itu boleh berlaku, Alhamdulillah. Kalau tak boleh berlaku, mungkin kerana mereka ada sedikit kerusi dan memilih untuk bergerak solo. 'Free for all' pun boleh juga, kita pernah lalui dah,” katanya.

Dalam pada itu, Sanusi turut mengingatkan pengundi di Perak supaya tidak mengulangi kesilapan lalu yang menyaksikan berlakunya sokongan kepada parti berbeza daripada parti yang akhirnya membentuk Kerajaan Negeri.

“Saya tengok sebelum ini ramai kata di Perak berlaku 'cucuk baju'. Undi parti lain, dapat parti lain. Saya harap orang Perak ingat perkara itu. Lebih baik kita bersatu padu,” katanya.

Post a Comment

0 Comments