KERAJAAN BERHAK SEKAT PERJUDIAN DEMI KEHARMONIAN MASYARAKAT - MUFTI KEDAH

 

Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Kerajaan mempunyai hak memperkenalkan dasar bagi mengawal atau menyekat aktiviti perjudian demi menjaga keharmonian serta kepentingan masyarakat keseluruhannya.

Mufti Kedah, Dato’ Paduka (Dr) Syeikh Fadzil Awang berkata, dasar berkenaan bukan semata-mata berasaskan hukum agama Islam, sebaliknya wajar dilihat dari sudut kesan buruk perjudian yang boleh menjejaskan kehidupan dan kedudukan ekonomi masyarakat tanpa mengira latar belakang agama.

“Bagi pihak pemerintah, mereka berhak untuk memperkenalkan satu dasar, katakan judi itu (dilarang), maka ia untuk menjaga keharmonian masyarakat sama ada Muslim dan bukan Muslim,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu berkaitan dasar Kerajaan Negeri Kedah terhadap aktiviti perjudian susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 12 Ogos lalu.

Menurut beliau, perjudian jelas dilarang dalam al-Quran dan umat Islam wajib mematuhi ketetapan berkenaan apabila sesuatu perkara telah ditetapkan sebagai larangan oleh Allah SWT.

“Judi sudah jelas dalam al-Quran, dilarang oleh Allah SWT. Apabila ia dilarang maka bagi kita perlu akur dan patuh,” katanya.

Syeikh Fadzil berkata, kebebasan masyarakat bukan Islam untuk mengamalkan agama dan budaya masing-masing tetap dihormati, namun terdapat aktiviti tertentu yang kesannya boleh memudaratkan masyarakat tanpa mengira latar belakang agama.

“Bagaimanapun, bagi bukan Islam di negara kita, mereka bebas dalam aspek ibadah dan menjalani kehidupan mengikut budaya masing-masing.

“Tapi dari segi judi, arak ia adalah aktiviti yang mempunyai kesan buruk, termasuk menjejaskan kedudukan ekonomi tidak kira kepada orang Islam atau bukan Islam,” katanya.

Mahkamah Persekutuan pada 12 Ogos lalu menolak permohonan Kerajaan Negeri Kedah untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan yang membatalkan tindakan menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen perniagaan bagi pengendali pertaruhan nombor ramalan di negeri itu.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Rhodzariah Bujang bersama Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azmi Ariffin turut memerintahkan Kerajaan Negeri membayar kos RM50,000.

Pada 12 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan menerusi keputusan majoriti 2-1 mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati arahan Kerajaan Kedah untuk tidak mengeluarkan dan memperbaharui lesen perniagaan perjudian adalah tidak berperlembagaan.

Kedah sebelum ini mengumumkan tidak meneruskan pemberian lesen premis operasi perjudian berkuat kuasa 1 Januari 2023, berdasarkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 8 Disember 2021.

Post a Comment

0 Comments