KEDAH PERKASA PERLINDUNGAN GELANDANGAN, MANGSA KEGANASAN RUMAH TANGGA

 

Oleh: Amal Nabila Abdul Khadi

ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah memperkukuh kemudahan perlindungan bagi golongan gelandangan, mangsa keganasan rumah tangga dan kumpulan sasar menerusi pengoperasian dua Rumah Transit Negeri Kedah (RTNK).

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Perpaduan, Dato' Hajah Halimaton Shaadiah Saad berkata, RTNK di Taman Pulasan, Jitra telah ditutup sepenuhnya dan operasinya dipindahkan ke RTNK Taman Temin Jaya, Changloon.

Menurut beliau, RTNK Taman Temin Jaya menyediakan kemudahan yang lebih kondusif selain berfungsi sebagai pusat perlindungan integrasi bagi golongan gelandangan dan mangsa keganasan rumah tangga.

"RTNK Taman Temin Jaya juga telah diwartakan sebagai Tempat Selamat di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 Akta 521.

"Sebuah lagi RTNK diwujudkan di Langkawi dan mula beroperasi sejak Februari 2026 bagi menyediakan kemudahan penempatan sementara kepada golongan yang memerlukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Bau Wong Bau Ek (PKR - Sidam) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di sini.

Tambah Halimaton lagi, pada masa ini, Kerajaan Negeri memberi tumpuan kepada pemantapan dan pengoptimuman pengoperasian kedua-dua RTNK sedia ada bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan lebih berkesan dan memenuhi keperluan kumpulan sasar.

"Keperluan untuk menambah rumah transit pada masa hadapan akan sentiasa diteliti berdasarkan keperluan semasa, jumlah kes serta kemampuan kewangan Kerajaan Negeri," jelasnya lagi.

Sementara itu, tambah beliau lagi, penguatkuasaan terhadap pengemis dan orang papa di Kedah dilaksanakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Kedah di bawah Akta Orang Papa 1977 Akta 183.

"JKM turut menjalankan operasi secara berkala bagi memastikan kebajikan golongan berkenaan sentiasa terpelihara selain menangani isu gelandangan di beberapa kawasan bandar di negeri ini.

"Individu yang diambil JKM boleh ditempatkan di Desa Bina Diri (DBD) melalui perintah mahkamah di bawah Seksyen 32 sebagai Perintah Penempatan Sementara atau Seksyen 34 bagi penempatan di rumah kebajikan untuk tempoh tidak melebihi tiga tahun," ujar Halimaton lagi.

Tambahnya lagi, langkah berkenaan membolehkan golongan yang memerlukan mendapatkan perlindungan, penempatan sementara dan intervensi kebajikan yang bersesuaian mengikut keadaan serta keperluan masing-masing.

Post a Comment

0 Comments