Nur Akasyah Sabri
ALOR SETAR – Kedah merekodkan jumlah pelaburan sekitar RM140 bilion dalam tempoh enam tahun terakhir, sekali gus mencerminkan keyakinan tinggi pelabur terhadap negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi, Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, berdasarkan rekod pencapaian keseluruhan sejak penubuhan Kulim Hi-Tech Park (KHTP), Kedah turut mencatatkan pencapaian memberangsangkan dalam tempoh lima tahun terkini dengan jumlah pelaburan yang diterima sekitar RM190 bilion.
“Ini menunjukkan satu pencapaian yang memberangsangkan dalam konteks di mana kita dapat melihat keyakinan para pelabur terhadap negeri kita,” katanya.
Menurut beliau, kemasukan pelabur ke Kedah menunjukkan bahawa mereka telah membuat penelitian menyeluruh berkaitan negeri dan lokasi pelaburan, termasuk mengambil kira aspek politik serta pentadbiran.
Hasil daripada perkembangan sektor perindustrian dan pelaburan itu, sebanyak 48,685 peluang pekerjaan berjaya diwujudkan di KHTP, dengan majoriti pekerja terdiri daripada rakyat Kedah.
“Ini juga satu manifestasi kepada kesungguhan kita untuk memastikan anak-anak Kedah mendapat peluang untuk mencari pekerjaan di negeri kita sendiri.
“Kalau kita lihat trend yang berlaku dalam tempoh lima hingga enam tahun kebelakangan ini, kita mempunyai prospek yang cukup baik untuk membawa masuk pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak-anak Kedah, khususnya untuk bekerja di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Dato’ Dr. Mohd Hayati Othman (PAS - Tokai) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di sini.
Haim Hilman berkata, pada tahun lalu, Kedah merekodkan kemasukan pelaburan sebanyak RM27.8 bilion, dengan majoritinya merupakan pelaburan langsung asing (FDI), manakala sebahagian kecil lagi adalah pelaburan langsung domestik (DDI).
“Dalam konteks ini, kita juga sedang bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi membolehkan pelabur tempatan atau syarikat tempatan mendapat manfaat daripada kemasukan pelabur asing ke negara kita.
“Kita juga telah difahamkan bahawa menerusi National Semiconductor Strategy, negara menyasarkan sekurang-kurangnya RM500 bilion pelaburan dan latihan serta peningkatan kemahiran sebanyak 60,000 jurutera berkemahiran tinggi diperlukan.
“Jadi, ini merupakan satu jumlah yang cukup besar. RM500 bilion pelaburan dalam bidang semikonduktor ini diunjurkan di negara kita,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru semua pihak yang terlibat supaya merebut peluang daripada pelaburan RM500 bilion yang diunjurkan dalam sektor semikonduktor, selain berharap Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi penekanan terhadap penyediaan 60,000 jurutera berkemahiran tinggi.
Katanya, program yang ditawarkan universiti perlu benar-benar memenuhi keperluan negara, khususnya dalam mendokong pembangunan dan perkembangan sektor semikonduktor.
“Saya mengharapkan Jabatan Tanah dan Daerah, pihak berkuasa tempatan, agensi-agensi, Invest Kedah, BPEN serta semua agensi Kerajaan Persekutuan seperti Kastam, Imigresen, Jabatan Alam Sekitar (DOE), bomba dan seumpamanya, marilah kita berganding bahu seperti yang telah kita lakukan sebelum ini.
“Kita telah mewujudkan One Investment Team yang membolehkan semua isu berkaitan pelaburan ditangani di satu tempat dan saya sendiri yang mempengerusikannya,” katanya.

0 Comments