"KALAU MASUK SENARAI SAYA, SIAP DUITLAH”

 

SERAH LOD, ELAK LEBIH RAMAI SEBAR KENYATAAN DIPUTAR BELIT

Oleh: Roslinda Hashim 

GERIK - Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menegaskan lebih ramai individu bakal menerima surat tuntutan (Letter of Demand, LOD) susulan dakwaan memutar belit kenyataannya ketika berkempen di Negeri Sembilan sehingga menjejaskan reputasinya.

Menurut beliau, senarai individu yang akan dikenakan tindakan undang-undang itu semakin panjang dan LOD dihantar secepat mungkin bagi mengelakkan lebih ramai pihak terus mengulas atau menyebarkan kenyataan yang disifatkannya sebagai tidak tepat.

"Ramai, penuh senarai itu. Kita bagi cepat-cepat LOD itu supaya orang lain tak termasuk dalam senarai. Saya hantar LOD cepat supaya orang lain berhenti ulas, jangan masuk dalam senarai saya.

"Kalau masuk senarai saya, siap duitlah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Perak ke-43 di sini hari ini.

Pada 28 Julai, Sanusi memaklumkan lebih ramai individu bakal menerima LOD selepas didakwa menokok tambah, memesongkan fakta serta mengulas ucapannya di luar konteks sebenar ketika berkempen di Negeri Sembilan.

Beliau berkata, pasukan peguamnya sedang menguruskan penyerahan LOD kepada individu terbabit dan tindakan itu bertujuan mempertahankan reputasinya daripada dakwaan yang disifatkan sebagai fitnah.

Antara individu terawal menerima LOD ialah Pengarah Pilihan Raya PKR Selangor, Dr. Sathia Prakash Nadarajan.

Menerusi surat tuntutan yang dikeluarkan firma guaman Faizi & Associates bertarikh 27 Julai, Sanusi mendakwa Dr. Sathia memfitnah beliau menerusi kenyataan media serta video yang dimuat naik di akaun TikTok berhubung ucapannya di Negeri Sembilan.

Menurut surat itu, Dr. Sathia didakwa secara tidak tepat mengaitkan Sanusi dengan kenyataan berbunyi "India baliklah India" dan "Cina baliklah China", sedangkan frasa berkenaan tidak pernah diucapkan oleh beliau.

Dalam ceramah kempen di Jempol sebelum ini, Sanusi dilaporkan berkata, "Melayu tak ada dah tanah. Melayu ada Tanah Melayu ini saja. Orang India ada India. Orang Cina ada China. Orang Kemboja ada Kemboja. Orang Siam ada Thailand. Melayu di mana? Melayu di sini saja."

Petikan ucapan itu kemudian mencetuskan kontroversi apabila disalah tafsir dan ditokok tambah oleh pihak tertentu sehingga membawa maksud di luar konteks asal.

Post a Comment

0 Comments