Ku Azizah Ku Hamid
ALOR SETAR – Projek pembinaan jambatan baharu di Kampung Teluk Rambung, Batu 8, Baling dijangka mula dilaksanakan pada awal September ini dan siap pada penghujung Disember 2026, selepas Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) meluluskan tambahan peruntukan menjadikan kos keseluruhan projek RM500,000.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Insan dan Pembasmian Kemiskinan, Dato' Ustazah Siti Ashah Ghazali berkata, peruntukan tersebut meningkat berbanding peruntukan asal sebanyak RM258,000 bagi membolehkan skop pembinaan disesuaikan dengan keperluan semasa serta memastikan jambatan yang dibina memenuhi aspek keselamatan dan ketahanan.
"KKDW telah membuka iklan sebutharga bagi pelaksanaan kerja-kerja bina baharu jambatan serta kerja-kerja berkaitan di Kampung Teluk Rambung pada 4 hingga 6 Ogos lalu," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Taufik Yaacob (BERSATU - Bayu) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di sini.
Jelasnya, kelewatan pelaksanaan projek sebelum ini berpunca daripada hasil siasatan dan semakan teknikal di tapak yang mendapati reka bentuk asal tidak lagi memenuhi keperluan semasa serta memerlukan pertambahan skop kerja.
Menurut Siti Ashah, keadaan itu menyebabkan peningkatan kos projek dan memerlukan reka bentuk baharu disediakan bagi memastikan pembinaan jambatan mematuhi spesifikasi ditetapkan, selain meningkatkan tahap keselamatan serta ketahanannya.
"Sehubungan itu, Pejabat KKDW Negeri perlu mengemukakan permohonan tambahan peruntukan kepada pihak kementerian sebelum kelulusan diperoleh daripada Jawatankuasa Tertinggi di peringkat kementerian.
"Setelah kelulusan tambahan peruntukan diperoleh, proses perolehan dapat diteruskan dan projek berkenaan akan dilaksanakan mengikut jadual yang telah ditetapkan," kata beliau lagi.

0 Comments