Oleh: Amal Nabila Abdul Khadi
ALOR SETAR - Jalan yang dikenal pasti mempunyai risiko keselamatan tinggi kepada pengguna akan diberi keutamaan untuk tindakan pembaikan segera oleh Kerajaan Negeri Kedah.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar, Dato' Mohamad Yusoff@Munir Zakaria berkata, penentuan keutamaan kerja pembaikan dibuat berdasarkan beberapa kriteria termasuk tahap risiko keselamatan, jenis dan tahap kerosakan serta jumlah trafik yang menggunakan laluan berkenaan.
Menurutnya, lokasi kemalangan atau 'black spot' berdasarkan rekod kemalangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan audit keselamatan jalan turut menjadi antara faktor utama dalam menentukan keutamaan pembaikan.
"Selain itu, fungsi jalan sama ada sebagai jalan utama, laluan penghubung, laluan ekonomi, pelancongan atau laluan ke hospital, sekolah dan kawasan industri turut diambil kira.
"Aduan awam dan maklum balas wakil rakyat yang disahkan melalui pemeriksaan di lapangan serta laporan pemeriksaan teknikal dan penilaian keadaan aset turut menjadi kriteria," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Khairul Anuar Ramli (BERSATU - Lunas) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di sini.
Jelas Munir, Kerajaan Negeri kini beralih kepada penyelenggaraan pencegahan bagi mengelakkan kerosakan jalan berulang.
"Langkah itu termasuk mengenal pasti punca kerosakan, menyenaraikan jalan yang mengalami kerosakan berulang serta menjalankan penilaian teknikal bagi menentukan punca sebenar sebelum kerja pemulihan dilaksanakan.
"Jalan yang kritikal akan diberi keutamaan untuk kerja pemulihan secara menyeluruh dan bukan sekadar tampalan sementara," tambah Munir lagi.
Dalam pada itu, jelas beliau lagi, penyelenggaraan berkala turut dipertingkatkan terutama membabitkan bahu jalan, saliran, turapan serta lokasi yang mempunyai sejarah kerosakan berulang.
"Bagi jalan negeri, kerja penyelenggaraan dilaksanakan secara berkala dan berjadual melalui Program Penyelenggaraan Jalan Negeri menggunakan peruntukan Amanah Majlis Amanah Rakyat (MARRIS).
"Skop penyelenggaraan merangkumi kerja menampal lubang, turapan semula, penyelenggaraan bahu jalan, papan tanda, jambatan, pembetung, sistem perparitan, pemotongan rumput serta kerja berkaitan," katanya lagi.
Jelas Munir lagi, pemeriksaan berkala dan pemantauan berterusan turut dilaksanakan bagi mengenal pasti kerosakan pada peringkat awal supaya tindakan pembaikan dapat dibuat dengan segera.
"Penyelarasan antara Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), PDRM, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), syarikat utiliti serta agensi berkaitan juga akan terus diperkukuhkan.
"Pendekatan berkenaan bukan sekadar bertujuan mengurangkan jumlah jalan rosak, malah memastikan masalah kerosakan yang sama tidak terus berulang," ujar beliau lagi.

0 Comments