Oleh: Roslinda Hashim
SEREMBAN - Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor akan memberi keterangan kepada polis berhubung siasatan terhadap ucapannya dalam ceramah politik di Negeri Sembilan, dan menegaskan dirinya tidak melakukan sebarang kesalahan.
Menurut beliau, polis dijadualkan mengambil rakaman percakapannya hari ini susulan siasatan yang sedang dijalankan.
“Polis nak ambil statement saya. Kita dalam ditekan, dihenyak apa pun, saya datang sini (Negeri Sembilan) duk gelak-gelak saja. Kita bukan buat salah apa.
“Sebab kita mari lawan hujah. Nak berlawan apa, (ada orang) manja asyik mengadu kat bapa, tak payah lawanlah,” katanya ketika berucap pada Ceramah Mega Birukan Seremban, di sini, pada Rabu.
Sebelum ini, pada 28 Julai, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad memaklumkan Sanusi akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya dalam satu ceramah di negeri itu.
Menurut beliau, siasatan kes tersebut masih berjalan dengan rakaman percakapan beberapa saksi telah diambil.
“Datuk Seri Muhammad Sanusi akan dipanggil untuk merakam percakapan dan kita akan cuba selesaikan kes ini secepat mungkin.
“Kertas siasatan berhubung kes ini dibuka di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Pada 23 Julai lalu, ketika berucap dalam ceramah di Negeri Sembilan, Sanusi menyatakan, “Melayu tak ada dah tanah. Melayu ada Tanah Melayu ini saja. Orang India ada India. Orang Cina ada China. Orang Kemboja ada Kemboja. Orang Siam ada Thailand. Melayu di mana? Melayu di sini saja.”
Ucapan itu kemudiannya menimbulkan kontroversi apabila petikan itu disalah tafsir dan ditokok tambah pihak tertentu sehingga membawa maksud di luar konteks.
Alzafny turut memaklumkan, seorang lagi ahli politik iaitu pemimpin UMNO Rembau turut akan dipanggil bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya yang didakwa mengaitkan Institusi Diraja Negeri Sembilan dengan parti politik.
Katanya, polis menerima 11 laporan berhubung kenyataan pemimpin berkenaan, manakala kertas siasatan telah dibuka dan rakaman percakapan pengadu serta beberapa saksi tambahan sudah diambil.

0 Comments