PN-BN MAMPU BENTUK KERAJAAN BAHARU JIKA PENGUNDI TOLAK PH DI NEGERI SEMBILAN - SANUSI

 

Oleh: Roslinda Hashim 

SEREMBAN - Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menggesa pengundi di Negeri Sembilan memberikan sokongan kepada gabungan Barisan Nasional (BN) dan PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN), sambil menyifatkan pengundian 1 Ogos sebagai peluang mencipta sejarah dengan menumbangkan Pakatan Harapan (PH).

Menurut beliau, semua pengundi tanpa mengira kaum perlu membuat pilihan berdasarkan kepentingan masa depan negeri dengan memilih pemimpin yang berfikiran jauh serta mampu mentadbir dengan tenang.

"Pengundi Melayu, Cina, India atau apa juga kaum yang layak mengundi di Negeri Sembilan, fikirlah lebih jauh dan fikir masa depan. Pilihlah pemimpin yang tenang, berfikiran panjang serta memahami apa yang berlaku di hadapan dan di belakang (sejarah)," katanya ketika berucap pada Ceramah Mega Birukan Seremban, di sini, pada Rabu.

Sanusi yang juga Pengerusi PN Kedah berkata, PH sengaja mewujudkan kekeliruan dalam kalangan rakyat demi meraih sokongan politik.

"PH sengaja mahu orang ramai keliru. Orang yang mendapat habuan daripada kekeliruan rakyat tidak layak menjadi kerajaan. Sebab itu jangan undi Pakatan Harapan," katanya.

Beliau berkata, PH hanya memperoleh kelebihan politik ketika suasana menjadi tegang dan beremosi.

"Pakatan Harapan hanya mendapat peluang apabila keadaan menjadi ‘panas’. Sebab itu gelombang mereka merah," katanya sinis.

Sehubungan itu, Sanusi menyeru pengundi di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi gabungan BN-PN supaya memberikan sokongan kepada calon-calon gabungan tersebut bagi membentuk kerajaan baharu di Negeri Sembilan.

"Saya berharap rakan-rakan kita di Negeri Sembilan, di semua DUN yang kita bertanding, berilah undi kepada Barisan Nasional dan Perikatan Nasional yang dianggotai PAS, Gerakan, MIPP dan Wawasan supaya mereka dapat mewakili rakyat membentuk kerajaan baharu di Negeri Sembilan," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut merayu golongan muda termasuk perantau supaya pulang mengundi pada hari pengundian.

"Kepada orang muda yang sudah mempunyai pendirian mahupun yang belum membuat keputusan, yang bekerja jauh dan dekat, saya rayu baliklah mengundi. 

“Pilihan raya negeri kali ini amat penting. Semua yang ada di luar, di Kuala Lumpur, Johor, Melaka, baliklah ramai-ramai. Tunaikan tanggungjawab supaya pada 1 Ogos nanti kita dapat mencipta sejarah dengan menumbangkan Pakatan Harapan di Negeri Sembilan," katanya.

Post a Comment

0 Comments