Oleh: Dr. Haim Hilman Abdullah
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat/ ADUN Jitra
Apabila sudah ketandusan modal, apa sahaja akan dijadikan isu. Itulah yang sedang berlaku apabila ucapan YAB Menteri Besar Kedah dipetik secara terpilih, dipisahkan daripada konteks sebenar, kemudian disebarkan seolah-olah itulah keseluruhan maksud yang ingin disampaikan.
Ini bukan lagi soal perbezaan pandangan, tetapi soal kejujuran dalam berpolitik. Mengambil sebahagian kenyataan untuk mencipta persepsi palsu bukanlah budaya politik yang matang.
Ia hanya menunjukkan gagalnya kerajaan PH di peringkat negeri dan pusat membawa negeri khususnya dan negara amnya ke hadapan dalam aspek pembangunan, pelaburan, pendidikan, penciptaan pekerjaan dan pembangunan modal insan.
Sepatutnya sebagai sebuah kerajaan di peringkat negeri dan pusat, mereka membawa kempen politik yang memberi tumpuan kepada aspek pelaburan, membuka lebih banyak peluang pekerjaan, memperkukuh institusi pendidikan, memperkasa sektor kesihatan awam serta merancang masa depan negeri dan negara.
Malangnya mereka lebih gemar bermain dengan tajuk sensasi dan potongan video beberapa saat. Mereka mungkin berjaya mengundang perhatian di media sosial, tetapi perhatian yang dibina atas fakta yang disalahertikan tidak akan bertahan lama. Inilah yang dinamakan politik memutar belit fakta - politics of distortation.
Rakyat bukan lagi mudah dipengaruhi oleh propaganda. Mereka menilai berdasarkan hasil, bukan sekadar persepsi. Mereka melihat siapa yang bekerja dan siapa yang hanya sibuk mencipta polemik dan lebih malang menabur janji-janji kosong.
Perbezaan pandangan adalah lumrah dalam demokrasi. Namun, memutar belit fakta demi kepentingan politik hanya merendahkan kualiti wacana awam. Politik seharusnya menjadi medan menawarkan penyelesaian, bukan pertandingan mencipta fitnah, persepsi dan kontroversi.
Sesunghuhnya kebenaran tidak memerlukan suara yang paling lantang apatah lagi menakut-nakutkan lawan dengan kata-kata ugutan. Kebenaran hanya memerlukan fakta yang lengkap. Dan apabila keseluruhan konteks dinilai dengan adil, rakyat akan mampu membezakan antara mereka yang bercakap benar dan yang berbohong.

0 Comments